Jerman Juara Piala Dunia 2014 Tewaskan Argentina 1-0
JERMAN 1
(Mario Goetze, m-113)
ARGENTINA 0
RIO DE JANEIRO – Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 tewaskan Argentina 1-0 menerusi gol Mario Gotze pada minit ke-113 di Stadium Maracana sebentar tadi.
Pemain gantian Jerman, Mario Goetze menolak masuk kemas satu jaringan cantik tujuh minit sebelum tamat masa tambahan untuk membantu pasukan menewaskan Argentina 1-0 dalam final untuk menjulang trofi Piala Dunia di Stadium Maracana, di sini, sebentar tadi.
Ini adalah mahkota kejuaraan kali keempat untuk jagoan Eropah yang memenanginya hasil satu kelekaan benteng Argentina yang sehingga detik itu bermain baik menandingi baik lawan.
Perlawanan ini seperti mahu menuju ke penentuan sepakan penalti sehingga Andre Schuerrle berjaya mencuri bola dari sayap kiri sebelum melambungkan kepada Goetze yang mengawal bola dengan dada sebelum merembat masuk gol penting Jerman.
Jerman mendominasi kawalan bola tetapi Argentina turut memiliki beberapa peluang termasuk satu yang terhidang depan mata pada minit ke-20 apabila tandukan ke belakang oleh Tony Kroos memberi ruang kepada Gonzalo Higuain membuat penyudahan baik tapi dia menyepak liar.
Lionel Messi bergelut dalam perlawanan dengan kawalan ketat manakala pemain gantian, Rodrigo Palacio nyaris meletakkan pasukan di hadapan dalam babak awal masa tambahan tetapi Jerman akhirnya muncul pasukan pertama Eropah memenangi Piala Dunia di benua Amerika. – Reuters