Anggota Keluarga Terkejut Berita Kehilangan Zakia ?
KOTA KINABALU – Anggota keluarga Konstabel Zakia Aliep, 26, yang dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam tadi terkejut dengan kejadian itu.
Mereka merasa sedih lebih-lebih lagi beliau baru memperoleh cahaya mata kira-kira tiga bulan lalu.
Majlis doa selamat untuknya diadakan pagi tadi.
Abangnya Zakria, 31, berkata beliau mendapat berita mengenai kehilangan adiknya daripada rakan-rakannya pada pukul 4 pagi tadi selepas bersahur.
“Selepas rakan-rakan memberitahu ada insiden serang hendap di Pulau Mabul dan adik saya hilang, saya menghubungi isterinya yang memberitahu adik saya tidak pulang ke rumah.
“Saya turut menghubungi Balai Polis Semporna untuk bertanyakan tentang perkembangan pencarian adik saya,” katanya kepada Bernama.
Zakria berkata petang ini beliau dan ibu bapanya serta beberapa orang saudara mara akan bertolak dari kampung mereka di Tenghilan, kira-kira 45 kilometer dari Kota Kinabalu untuk ke Semporna bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai adiknya di samping menemani isteri dan anak Zakia yang berada di Semporna.
Zakia dipercayai diculik ketika sepasukan anggota Polis Marin diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada pukul 11.10 malam. Seorang lagi anggota Polis Marin, Koperal Rajah Jamuan terbunuh.
Menceritakan mengenai adiknya, Zakria berkata Zakia merupakan antara yang pertama memohon untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Beliau berkata selepas Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan susulan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, adiknya tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan bertugas di ESSZone.
“Masa itu permohonan dibuka kepada mana-mana anggota keselamatan yang berminat untuk berkhidmat di bawah ESSCom. Adik saya melihat ia juga sebagai peluang untuk pulang dan berkhidmat di negeri kelahirannya,” katanya.
Zakria berkata adiknya ketika itu bertugas di Pulau Pinang dan menambah adiknya memang bercita-cita menjadi anggota polis sejak kecil dan menyertai Polis Marin sejak 2010.
Sementara itu di Tawau, mayat Rajah dijangka dibedah siasat di Hospital Tawau pada pukul 4 petang ini sebelum dikebumikan di Batu 3, Semporna esok.
Jenazahnya tiba di Hospital Tawau pada 12.25 tengah hari tadi dengan ditunggu anggota keluarganya. – BERNAMA