Guru Menganas Baling Kasut Ke Murid Ditukaran Serta-Merta !


Seorang guru yang bertindak melampau membaling kasut ke arah seorang murid di sebuah sekolah kebangsaan di sini, sehingga mencederakan dahi kanak-kanak tersebut diarah tukar sekolah serta-merta.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Kalsom Khalid berkata, arahan dikeluarkan berkuat kuasa mulai semalam.

Selain itu, katanya, guru berusia lingkungan 50-an itu akan dipanggil bagi membantu siasatan terhadap kes yang berlaku terhadap M Sharmini, 8.

“Pihak kaunselor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan memberi kaunseling kepada guru berkenaan dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Selain itu, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan untuk tindakan seterusnya,” katanya, semalam.

Kalsom berkata, JPNS, PPD Port Dickson dan pihak sekolah telah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid terbabit untuk memohon maaf.

Sinar Harian melaporkan Sharmini luka di dahi apabila guru terbabit melempar kasut yang dipakainya ketika mengajar subjek pendidikan moral.


Guru berkenaan berbuat demikian kerana dipercayai marah apabila murid itu bersama dua lagi rakannya bermain di belakang kelas ketika dia sedang mengajar.

Sharmini dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum ke Hospital Port Dickson dan menerima tiga jahitan.

- Sinar Harian

Contact Form

Name

Email *

Message *