Jasin – Seorang jemaah lelaki warga emas dipercayai meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Ghaffar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mangsa Mohamed Nor Abu, 72, yang juga pesara guru berada di saf hadapan sedang melakukan sujud yang terakhir sebelum rebah secara tiba-tiba.
Imam 1 Masjid Al -Ghaffar Muhamad Adib Hatim berkata, beliau menyedari kejadian sebaik selesai mengimamkan solat fardhu itu.
“Selesai sahaja mengimamkan solat, saya terlihat mangsa sudah rebah dan ketika itu jemaah lain mula mendapatkannya.
“Mulanya kami sangka mangsa pengsan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan hospital yang datang tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Ghaffar, di sini.
Muhamad Adib berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku memandangkan sebelum itu mereka berbuka bersama di masjid berkenaan.
“Ketika berbuka, arwah berbual seperti biasa dengan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan namun tidak menyangka perbualan itu adalah yang terakhir kalinya.
“Ini adalah kejadian pertama berlaku di masjid ini dan diharapkan dapat menjadi pengajaran kepada dan tauladan kepada orang lain. Tidak semua orang dapat merasai pemergian yang baik seperti dialami arwah ini di dalam bulan Ramadan,” katanya.
Allhayarham yang menetap di Taman Maju meninggalkan seorang balu dan lima anak.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Maju. – Harian Metro