Trend Cakap ‘Ale Uto’ habis kanak kanak jadi mangsa Menyebutnya!
Trend cakap Ale Uto dimulakan oleh remaja kini seakan diajar kanak kanak menyebutnya yang dianggap kelakar lucu – Gambar ihsan Wanista.com
KUALA LUMPUR: Penuturan kata-kata berunsur lucah dalam kalangan remaja bukan lagi perkara asing kebelakangan ini.
Rata-rata mereka yang merakamkan perlakuan itu pula tanpa segan silu memuat naik video mereka ke laman web untuk tatapan orang ramai, seolah-olah berbangga dengan apa yang dilakukan mereka.
Kemudahan internet di hujung jari menyebabkan penyebaran video itu semakin meluas dan menjadi viral di alam siber.
Namun, yang menjadi persoalan ialah wabak itu kini dilihat semakin menular kepada kanak-kanak yang belum pun fasih berkata-kata, apatah lagi memahami apa yang disebut mereka.
`Mangsa’ terkini adalah kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun yang baru belajar bercakap. Hasil tinjauan Astro AWANI di laman Facebook dan YouTube mendapati perkongsian video kanak-kanak yang menutur perkataan yang menjadi slanga perbualan remaja kian menjadi-jadi.
Di dalam video yang tersebar itu, anak-anak yang menjadi `mangsa’ ini dirakam menuturkan frasa berunsur lucah ‘ale uto’ dipercayai atas desakan seseorang yang lebih dewasa yang bertindak merakamkannya.
Ia dimuat naik beberapa pengguna di laman YouTube melalui kata carian ‘ale uto-versi budak kecik’.
Perkataan itu sebelum ini menjadi ‘viral’ di media sosial dan turut dirakam oleh seorang remaja dari Pantai Timur dalam sebuah video pendek yang telah dimuat naik di laman YouTube.
“>Kanak-kanak Jadi Mangsa Frasa ‘Ale Uto’?
Persoalannya kini, apakah kanak-kanak berkenaan merupakan golongan kurang kasih sayang ibu bapa atau penjaga mereka?
Bagaimana pula jika kanak-kanak ini membawa tabiat mengulang frasa yang mungkin tidak diketahui maksudnya itu di pusat asuhan dan menyebar ‘mazhab’ itu kepada rakan mereka selain kebimbangan ia menjadi semakin viral di kalangan kawan-kawan mereka?
Sebelum ini, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, orang muda yang sering menuturkan perkataan ini boleh juga dianggap mahu menagih perhatian daripada masyarakat.
Bagaimanapun, pakar psikoterapi Azman Shah Aziz melihat situasi yang terjadi berpunca daripada keterbukaan internet masa kini.
Page Facebook Amran Fans sebelum ini pernah menggemparkan pengikutnya dengan pengenalan slanga yang dikatakan berunsur lucah, ‘ale uto’ yang kerap sehingga viral di media sosial.
Amran Fans, walau bagaimanapun, menafikan frasa itu berunsur negatif dan menjelaskan maksud perkataan itu ialah ‘I love u’ (saya cinta kamu).
Populariti perkataan itu turut dilihat semakin mendapat tempat di hati remaja dengan cubaan golongan itu yang menjual baju t-shirt bertulis ‘Ale Uto’ di laman sosial dengan harga RM35 sehelai.
Bagaimanapun jualan itu mendapat banyak kecaman dari pengguna media sosial sendiri terutama di blog-blog yang menyifatkan penjual berbabit cuba meraih keuntungan mudah tanpa memikirkan sentimen dan sensiviti masyarakat terhadap isu berkenaan.