Detik Cemas Buat Penumpang - Bas terbalik, Tujuh Penumpang Selamat


KUALA KANGSAR – Tujuh penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 234, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Kuala Lumpur itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan bas dua tingkat itu masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, keadaan bas yang terbalik mengakibatkan lorong kiri laluan terhalang dan berlaku kesesakan.

“Setibanya di tempat kejadian, kita terus memeriksa keadaan dalam bas bagi memastikan tiada mangsa yang tertinggal atau tersepit, Alhamdulillah semuanya penumpang bas termasuk pemandu kereta selamat tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang berada di kawasan itu terkejut apabila melihat bas tersebut terbalik dan menutup keseluruhan laluan kiri lebuh raya.


“Jika dilihatkan pada keadaan bas itu, saya bimbang mungkin ada penumpang yang maut atau cedera parah tetapi saya lega apabila mendengar tiada kecederaan serius dalam kemalangan itu.

“Begitu pun, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sepanjang beberapa kilometer kerana bas yang melintang di atas jalan itu menutup satu laluan,” katanya. – Sinar Harian Online

Contact Form

Name

Email *

Message *