Lagi Buat Kes !!! Beri Alasan Jatuh Daripada Kerusi, Bayi Kritikal ?
SUNGAI BULOH – Jatuh daripada kerusi rotan tetapi kecederaan seperti dilanggar sebuah kereta!
Itulah yang dikatakan oleh doktor mengenai kecederaan yang dialami, Nurain Damia, setahun dua bulan, setelah dikatakan terjatuh di rumah pengasuhnya di Flora Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.
Menurut ibu mangsa, Nor Ani Shafarina Sani, 22, pengasuh anaknya mengatakan Nurain Damia terjatuh dari sebuah kerusi ketika sedang tidur kira-kira jam 7 petang.
“Sejurus mendengar berita itu, saya menghubungi suami saya, Mohd Naquudin Zakaria, 25, untuk memaklumkan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, semalam.
Nor Ani berkata, suaminya terpaksa mengambil Nurain Damia terlebih dahulu selepas pengasuh menghubungi sekali lagi memaklumkan keadaan anaknya dan meminta dibawa ke hospital dengan kadar segera.
“Ketika saya melihat keadaan Damia, saya sangat terkejut dan menangis. Saya lihat tangan serta kakinya sudah kejang,” katanya.
Menurut Nor Ani, sepanjang perjalanan ke hospital, Nurain Damia dalam keadaan separa sedar dan mulutnya berbuih. Dia cuba memanggilnya berulang kali, namun tiada sebarang tindak balas diterima.
“Pemeriksaan doktor mendapati Damia mengalami pendarahan di dalam kepala dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.
Nor Ani sangat terkejut apabila doktor memaklumkan kecederaan Nurain Damia seperti bukan impak daripada jatuh kerusi.
Katanya, sekiranya jatuh kerusi, kecederaan di tempurung kepalanya tidak seteruk itu.
“Lebih malang lagi, tempurung kepala Damia retak dan tidak dapat disambung kerana otaknya mengembang,” katanya.
Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, Nor Ani membuat laporan di pondok polis hospital.
Nor Ani berkata, Nurain Damia dihantar di bawah jagaan pengasuh itu sejak dua bulan lalu dan dalam tempoh itu terdapat beberapa kesan kecederaan di kepalanya.
“Pengasuh memberikan alasan yang Damia terjatuh. Pernah sekali pipi anak saya lebam. Namun, pengasuh mengatakan dia (Damia) digigit oleh salah seorang anak jagaannya,” katanya.
Menurutnya, beliau mendapat khidmat pengasuh tersebut melalui laman sosial Facebook dan Nurain Damia merupakan anak tunggalnya setelah berkahwin sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat. – Sinar Harian