Berikut adalah kenyataan media daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yanus Hairi.
KENYATAAN MEDIA
27 JULAI 2014
SELANGOR KECAM CUBAAN SABOTAJ BEKALAN AIR MENTAH
Kerajaan Negeri mengecam percubaan sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap usaha kerajaan memastikan bekalan air mentah yang cukup sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Sekitar jam 3 pagi semalam, pasukan yang bertugas mengendalikan pam-pam di kawasan HORAS Bestari Jaya telah diugut oleh sekumpulan samseng bersenjata. Atas faktor kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, pasukan berkenaan telah meninggalkan kawasan tersebut.
Cubaan sabotaj ini telah mengakibatkan operasi pengepaman air dari HORAS ke sungai terganggu selama 5 jam dan mengakibatkan pengeluaran air sebanyak 70 juta liter padu tergendala.
Ketika ini pasukan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) sedang bekerja keras melakukan operasi pengepaman agar bekalan air mentah tidak terjejas.
Dalam masa yang sama, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bestari Jaya. Kerajaan Negeri berharap pihak polis akan meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan dan melakukan siasatan secepat mungkin agar perkara ini tidak berulang.
Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan petugas yang terlibat dalam mengendali pam di HORAS Bestari Jaya dan menghargai pengorbanan mereka meninggalkan keluarga dan bertugas semasa musim perayaan.
Dalam situasi kerajaan negeri yang sedang berusaha keras bagi memastikan bekalan air terus lancar, kami juga berharap agar seluruh pengguna air dapat menggunakan air dengan cermat dan berhemat.
YB DR AHMAD YUNUS HAIRI
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP BELIA DAN SUKAN, INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM