Pramugara Nyatakan Hasrat Mahu Meninggal Dalam Kapal Terbang



Seorang pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Shaikh Mohd Noor Shaikh Mahmood pernah menyatakan hasratnya yang mahu meninggal dunia dalam kapal terbang sejak berlakunya insiden kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu.

Menurut adiknya, Siti Noradziah, 29, abang sulungnya itu sepatutnya terbabit sama dalam penerbangan MH370 namun kemudiannya dia telah ditugaskan untuk pesawat yang lain pada hari yang sama.

“Apabila berlaku insiden (kehilangan) pesawat MH370, abang ada beritahu sepatutnya dia pun terbabit sama (berada dalam MH370) tapi mungkin belum masa (ajal), sebab waktu itu dia kemudiannya ditugaskan untuk pesawat yang lain,” katanya memetik mStar.

Antara bait-bait ungkapan abangnya yang masih diingati ialah, “kenapalah abang tiada dalam pesawat MH370 tu..kan best kalau meninggal (dunia) dalam kapal terbang, satu dunia akan sedekahkan Al-Fatihah untuk abang”.

Menurut Noradziah lagi, mereka sekeluarga pada mulanya marah dengan kata-kata abangnya itu tetapi kemudian beranggapan mungkin abangnya sekadar bergurau pada ketika itu.

Shaikh merupakan salah seorang daripada 298 orang yang berada dalam MH17 yang terkorban selepas pesawat itu terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.


Pramugara yang mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak tiri ini juga dikatakan sempat meninggalkan pesanan suara menyanyikan lagu Dendang Perantau yang pastinya kini menjadi kenangan buat seluruh ahli keluarganya.

Memang sayu mendengarnya, semoga seluruh ahli keluarga arwah tabah menjalani dugaan di bulan mulia ini. Al-Fatihah dan salam takziah diucapkan.

Contact Form

Name

Email *

Message *