Kes Abaikan Anak - Lola Rindu Nak Jenguk Firdaus Tapi Takut Dicemuh Orang !



SEREMBAN – “Lola rindu nak jumpa anak, tapi malu nak keluar kerana takut dicemuh orang.” Itu kata Lolanopita Sadi, 40, ketika menghubungi bekas pengasuh Muhammad Firdaus Dullah, Norfitri Radius, 42.

Menurut Norfitri, setiap dua hari sekali, Lolanopita atau Lola akan menghubunginya untuk bertanya khabar serta bercerita mengenai dirinya yang kini tinggal di suatu tempat tidak diketahui.

Katanya, Lola memberitahu bahawa dia kini berada di sebuah rumah perlindungan yang jauh lebih selamat jika berada di rumahnya di Taman Semarak, Nilai.

“Kali terakhir Lola telefon saya pada malam kelmarin melalui telefon awam, ketika itu saya bertanyakan di mana dia tinggal sekarang ini, namun Lola hanya memberitahu dia tinggal di sebuah tempat perlindungan di sekitar Seremban, dan berada dalam keadaan sihat.

“Lola juga meluahkan hasrat hatinya ingin bertemu serta melihat Firdaus serta anak keduanya itu, namun belum berkesempatan berbuat demikian kerana bimbang dicemuh masyarakat, memandangkan Firdaus kini masih berada di hospital,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norfitri berkata, Lola mungkin akan bertemu dengan anak-anaknya setelah Firdaus dibenarkan keluar wad serta berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) nanti.


“Lola memberitahu, sebaik sahaja dia dibebaskan pada 30 Jun lalu, dia memang berhasrat untuk melihat Firdaus, namun tidak berani kerana takut dihalang. Lagipun hospital adalah tempat awam sudah tentu ramai yang kenal dengannya akan bertindak menghinanya.

“Lola juga adalah manusia biasa yang lemah dan naif, jadi tidak hairanlah jika dia masih belum mampu berdepan dengan masyarakat, sedangkan hendak pulang ke rumah sendiri pun Lola tidak berani,” katanya.

Sehubungan itu, Norfitri berharap supaya kejadian menimpa Lola dapat dijadikan pengajaran buat dirinya, sekali gus memaafkan atas setiap kesilapan dilakukan.

“Lola mungkin ada jawapan serta sebab tertentu mengapa dia bertindak sedemikian, memandangkan sebelum ini dia merupakan seorang ibu yang penyayang,” katanya. – SINAR HARIAN

Contact Form

Name

Email *

Message *