VIDEO: Pemandu 'BLM Dihentam Treler' Meraung Telefon Bapa
Jika tadi kami siarkan gambar selfie lima sekeluarga sebelum kereta Proton BLM dinaiki mereka diseret treler jubin hingga mengorbankan dua beranak, di bawah adalah video sejurus nahas ngeri terbabit.
Dalam rakaman ini dapat dilihat Muhammad Yusriman, 23, yang memandu Proton Saga BLM untuk keluarganya ketika nahas berlaku menelefon bapanya memaklumkan tentang kemalangan tersebut sambil meraung dan meminta supaya datang segera.
Turut dirakam usaha menyelamatkan Siti Yusliana, 12, yang tersepit di tempat duduk belakang serta Muhammad Yusrizal, 25, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 256, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, selepas Terowong Menora sekitar jam 12.05 tengah hari semalam mengorbankan Norhayati Wook, 50, dan Siti Yuslianis Roslan, 20, yang mengalami kecederaan parah di kepala.
Yusriman dan Yusliana hanya mengalami kecederaan ringan namun Yusrizal parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Lima sekeluarga ini dalam perjalanan dari Bukit Sentosa, Rawang ke Lenggong yang merupakan kampung halaman Norhayati dan suaminya, Roslan Ismail yang tidak turut serta ketika kejadian untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Sama-samalah kita sedekahkan Al-fatihah. Semoga keluarga mangsa bersabar menghadapi dugaan hebat ini. - MYNEWSHUB
REM RAMZI/MYNEWSHUB.MY