Pelantun lagu ‘Kisah Hati’ Alyah mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung kontroversi pernikahannya dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS. Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, sebagai perempuan, dia menganggap lebih afdal jika perkara ini ditanyakan sendiri kepada Datuk Ramli MS.
“Maaf, Alyah tak boleh nak komen apa-apa mengenai isu ini. Apa-apa tanyalah Ramli MS kerana Alyah serahkan segalanya kepada dia,” ujar penyanyi lagu ‘Sesal Separuh Nyawa’ ini menerusi mesejnya di aplikasi Whatsapp pada Jumaat.
Pada Khamis lalu, sembilan pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak menyerbu kediaman banglo milik Datuk Ramli MS yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong selepas menerima aduan daripada orang awam.
Ketika pemeriksaan kira-kira jam 7.50 pagi itu, Alyah turut berada di sana dan pasangan itu hanya menunjukkan gambar kad pengesahan nikah mereka di Batam, Indonesia. Walau bagaimanapun, dokumen asal tersebut tidak dapat dikemukan oleh mereka kerana mendakwa ia tiada dalam simpanan mereka ketika itu.
Justeru, pasangan ini diberi masa sehingga Selasa depan (2 September) bagi mengemukakan bukti perkahwinan mereka atau mereka akan berdepan dengan tindakan mahkamah bagi tuduhan berkhalwat. Difahamkan, pasangan ini berkahwin tahun lalu dan masih belum mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini.
Hubungan cinta antara Alyah dan Datuk Ramli MS yang mula berputik sejak empat tahun lepas hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila timbul desas-desus mereka sudah berkahwin. Namun, baik Alyah mahupun Datuk Ramli MS, mereka mengambil pendekatan untuk enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Walau bagaimanapun sekitar April lalu, Alyah memberitahu akan membuat satu pengumuman mengenai status hubungan mereka sebelum hujung tahun ini kerana tidak mahu kontroversi mengenai hubungannya dengan konduktor muzik tersebut terus hangat diperkatakan ramai.