MH17 : Betapa Syahdunya… Laman Berita Papar Gambar Identiti Mangsa !
Umpama kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tanpa sebarang jejak pada 8 Mac lalu, beberapa agensi berita mula memaparkan gambar para mangsa yang terkorban di laman web dan portal mereka tetapi kali ini, nahas MH17 pula.
Selain gambar, kisah hidup dan identiti mereka turut dipaparkan untuk tatapan orang ramai yang mengunjungi serta membaca laman web mereka.
Laman portal akhbar NY Times merupakan laman portal yang menyiarkan gambar berkenaan sejak semalam dan sentiasa mengemaskini maklumat penumpang apabila mendapat maklumat terbaru tentang mereka.
Ia memulakan laporan syahdu berkenaan mangsa nahas penumpang MH17 dengan gambar seorang pelajar berusia 25 tahun warganegara Belanda, Karlijn Keijzer.
Keijzer merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam apa jua yang dilakukan, bermula dari kehidupannya sebagai pelajar Doktor Falsafah dalam jurusan kimia hinggalah kepada kepimpinannya dalam pasukan mendayung universitinya.
“Dia seroang yang baik, wanita muda yang ceria yang penuh dengan idea berkenaan masa depan,” kata Penasihat Pengajiannya; Mu Hyun Baik di Indiana University.
Sebelum Keijzer pergi bercuti, dia sedang mengusahakan projek kajian berkenaan potensi untuk membantu pesakit barah dan juga Alzheimer.
Kemudian, laman web itu memaparkan pula perihal seorang pengkaji wabak AIDS, Dr Josep Lange, 59, yang juga warganegara Belanda.
Dr Lange menaiki pesawat MH17 bersama pasangannya Jacqueline van Tongeren dalam penerbangan untuk menghadiri Persidangan AIDS Di Melbourne, Australia.
Beliau sudah mula menceburkan diri dalam kajian berkenaan AIDS sejak hari-hari terawal epidemik itu mula menyerang penduduk dunia dan memfokuskan usahanya dalam mewujudkan rawatan AIDS yang murah di beberapa negara miskin di Asia dan Afrika.
Seorang pramugari dari Malaysia yang juga anak kapal MAS, Shazana Salleh, 31, turut dipaparkan dalam laporan laman web itu.
Ketika kejadian MH17 terhempas di timur Ukraine, Shazana turut bertugas pada masa itu.
Menurut bapanya, Mohd Salleh, kerjaya sebagai pramugari merupakan cita-cita Shazana sejak kecil, memetik laporan The Malaysian Insider.
“Dia sudah pun pergi menghadiri banyak sesi temuduga sehingga akhirnya berjaya mendapatkan jawatan itu,” katanya. Pada orang ramai yang ingin melihat dan mengenali semua 298 mangsa MH17, bolehlah melayari laman portal NY Times dan menyelami kesedihan dan kehilangan yang dirasai oleh sahabat dan ahli keluarga mereka.