PERNAHKAH anda berasa risau untuk bersedekah di kala anda sendiri menghadapi masalah kewangan?
Jika jawapannya YA, mungkin anda perlu merenung semula sabda Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah r.a yang berbunyi:
“Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya.”
Menerusi Facebook Ustaz Azhar Idrus, satu artikel kisah benar telah dikongsikan mengenai seorang pemuda yang menjadi jutawan kerana bersedekah.
Artikel ini pernah diterbitkan di Majalah Anis terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd pada keluaran Oktober 2012.
Mari kita baca dan hayati untuk panduan bersama:
“Segalanya bermula pada bulan Ramadhan 2010. Masa itu saya benar-benar berada di garis mula memburu impian ini. Saya benar-benar bermula dari kosong.” Beliau memulakan kata.
“Bermula dari kosong? Apakah yang berlaku sebelumnya?” soal saya pula.
Saya dari keluarga susah. Malah pernah dibanci sebagai keluarga paling miskin di Besut. Saya masih ingat lagi saat melihat ibu saya menangis. Ibu menangis kerana sedih melihat ulat di kocek baju saya. Pada masa itu saya bekerja sebagai budak pengangkut sampah.
Saya katakan kepada ibu agar jangan sedih dan mohon terus doakan kejayaan saya. Saya yakin akan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. sebelum kita diberi nikmat kita tentu diuji dulu. Begitulah lazimnya. Itulah juga yang berlaku kepada saya.
Semasa bergelar pelajar lagi, saya sudah mula berusaha mencari duit. Malah saya pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar berhampiran KIST (Kolej Islam Sains dan Teknologi ) cawangan Bachok. Kebun seluas itu juga saya kerjakan bersendirian.
“Saya masih boleh dilihat mencangkul di kebun jagung walaupun 30 minit lagi peperiksaan akan bermula.” Terang beliau sambil ketawa.
“Kebun jagung yang sudah hampir membuahkan hasil itu menjadi sandaran saya . Kerana itu saya nekad dengan keputusan berhenti belajar. Kononnya untuk memberi tumpuan kepada bisnes kebun jagung saya. Namun, takdir Allah mengubah segala-galanya. Ribut kuat yang jarang – jarang berlaku telah melanda kawasan Besut. Seterusnya memusnahkan segala impian saya.”
“Ia berlaku pada masa tongkol-tongkol jagung sudah mula menguning. Saya terduduk. Segalanya musnah sekelip mata. Bukan sahaja harapan meraih untung hancur berkecai. Malah saya terpaksa pula menjual satu-satunya motorsikal buruk yang saya ada demi melunaskan sewa tanah kepada orang kampung. Selepas itu saya hanya berjalan kaki.”
(Gambar hiasan)
“Sudahlah begitu, saya terpaksa juga berdepan dengan pilihan yang berat. Iaitu pilihan di antara mahu meneruskan kuliah saya di KIST atau sebaliknya. Minat saya yang membuak-buak terhadap bisnes memaksa saya membuat pilihan ke-2. Hasilnya saya dicemuh oleh hampir semua orang yang saya kenal. Masa depan saya gelap kata mereka!”
“Pada masa itu saya merasakan sedang berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan ini. Saya kehilangan kebun. Saya kehilangan kuliah dan tiada kerja. Sudah tentu saya tiada wang. Saya tidak punya apa-apa lagi.
“Pada masa itu saya cuma ada Allah. Itulah satu-satunya harapan saya. Saya memujuk hati untuk mempercayai bahawa takdir Allah semuanya baik” terang beliau bak air yang mengalir.”
“Seterusnya pada hari bersejarah itu, saya bertemu seseorang dan mohon dipinjamkan wang sebanyak RM50 bagi memulakan hidup baru. Modal itu sebahagiannya saya gunakan untuk fotostat sebanyak 300 keping risalah dengan maksud mahu menjual tanah bagi pihaknya. Dengan harapan bolehlah mendapat sedikit komisyen jika ada orang yang mahu membeli.”
“Pada ketika itu saya memang tidak tahu apa-apa tentang urusan jual-beli tanah. Apa yang saya tahu cuma mahu mengedarkan risalah. Dan memang hanya itu saja peluang yang saya ada. Rasa terpaksa dan malu usah cakap. Saya tidak mampu untuk memikir selainnya.”
“Benarlah sesungguhnya Rezeki dari Allah. Sesingkat 3 jam saya berhasil mendapat RM2000 dari usaha itu. Seterusnya meningkat menjadi berpuluh dan beratus ribu ringgit; dan dalam tempoh beberapa bulan sahaja seorang yang asalnya ‘zero’ tiba-tiba menjadi ‘hero’. “
“Ya, saya benar-benar menjadi hero sehingga saya lemas dan leka dalam limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka itu.”
“Syukur kepada Allah yang segera memimpin saya agar segera kembali ke pangkal jalan. Saya segera sedar bahawa rezeki itu sesungguhnya kurniaan Allah dan bukan kerana hebatnya usaha dan kepintaran saya.
“Boleh tuan terangkan secara khusus apakah amalan tuan sehingga mendapat rezeki yang luar biasa itu?” saya memotong ceritanya.
“Apa yang tuan tulis di dalam buku, itulah yang saya amalkan. Contohnya, saya tidak akan memulakan kerja selagi belum bersedekah. Begitulah yang saya lakukan setiap hari.”
(Gambar hiasan)
“Alhamdulillah rezeki terus datang mencurah-curah sehingga sejuta yang pertama dapat saya raih dalam tempoh setahun. Tepatnya pada bulan Ramadan tahun berikutnya. Iaitu pada bulan Ramadan tahun 2011.
“Pada suatu hari saya mendapat panggilan telefon dari seseorang yang mahu menjual tanah. Tanah seluas 5 ekar itu terletak di Kampung Raja, Besut. Tuan tanah dengan senang hati mahu menjualnya kepada saya. Malah beliau mahu menjualnya dengan harga RM428,000. Ternyata harga yang ditawarkan itu jauh lebih rendah dari harga pasaran. “
“Kemudian saya pecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Keseluruhan tanah-tanah lot itu dapat dijual dalam tempoh setahun. Urus niaga itu berjumlah RM1.5 juta. Akhirnya seorang budak miskin berjaya menjadi jutawan.”
“Hari ini apabila direnung kembali skrip kehidupan lalu, saya segera insaf . Rezeki besar yang Allah beri sesungguhnya bukan sekadar untuk memenuhi keperluan saya semata-mata.”
“Rezeki yang melimpah-ruah itu rupa-rupanya untuk dikongsi dengan ramai orang lain yang lebih memerlukan. Alhamdulillah dengan izin-Nya saya berusaha menjaga kebajikan sekitar 70 orang anak-anak yatim dan miskin. Mereka berada di Besut, Pakistan, Kemboja dan Indonesia. “
“Saya percaya jumlah mereka ini akan bertambah lagi. Namun, saya tidak pernah bimbang tentang rezeki. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan mengetahui keperluan saya. Saya sekadar melakukan kerja-kerja yang saya mampu, selebihnya biarlah Allah melakukan kerja-Nya. “
“Akhirnya saya sampai ke titik keyakinan bahawa menjemput rezeki itu lebih mudah berbanding mencari-cari rezeki. Yakni mengutamakan Allah dalam setiap masa dan keadaan.”
Kesimpulannnya, janganlah takut untuk bersedekah biarpun hanya sedikit dan mengikut kemampuan.
Jika tidak mampu dari segi kewangan, sekurang-kurangnya sedekahlah dari segi tenaga, ilmu atau sokongan moral kepada mereka yang memerlukannya.
Oleh: ELZA