KUALA LUMPUR — Pengamal media perlu bertanggungjawab ketika membuat liputan tragedi MH17 dan mengelak sebarang perbuatan yang boleh menggores hati anggota keluarga mangsa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata demikian sebagai mengulas kritikan warga siber terhadap seorang wartawan portal berita Malaysia yang dikatakan mencucuk cebisan dipercayai kulit mangsa tragedi MH17 di lokasi pesawat itu terhempas di timur Ukraine.
“Tak semestinya apabila media jumpa sesuatu di lokasi dikatakan itu adalah bahagian anggota mangsa dan sebagainya…,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan Aidilfitri di Wisma Bernama hari ini.
Beliau juga berkata media sepatutnya berkongsi kesukaran yang dialami pasukan penyiasat untuk mencari bukti terutama apabila lokasi kejadian terletak dalam kawasan yang dilanda konflik.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai dan mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapal. — BERNAMA