Jurugambar Didenda Akibat Panjat Bangunan Nak Jadi ‘Spiderman’




KUALA LUMPUR – Gara-gara melakukan aksi ala ‘spiderman’ dengan memanjat bangunan 1 Sentrum, KL Sentral yang setinggi 32 tingkat, seorang jurugambar sambilan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menceroboh bangunan itu tanpa kebenaran dua minggu lepas.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Keow Wee Loong, 26, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Keow yang diwakili peguam Latheefa Koya membayar denda itu.

Dia didakwa menceroboh bangunan 1 Sentrum, KL Sentral dengan cara memanjat di luar bangunan itu di Tingkat 32, Bangunan 1 Sentrum, KL Sentral pada 2.30 petang, 29 Jun lepas.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Keow memanjat bangunan 1 Sentrum dari tingkat luar bangunan sebelum dia ditangkap oleh pengawal keselamatan ketika berada di tingkat 32 bangunan itu pada 3.30 petang.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran. – BERNAMA


 

Contact Form

Name

Email *

Message *