#PrayForMH370: Radar TUDM Kesan Kemungkinan Pesawat Cuba Berpatah Balik

Sepang: Siasatan terkini kehilangan pesawat MH370 mendedahkan bukti dan kemungkinan baru bahawa pesawat berkenaan cuba berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas radar milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan pergerakan pesawat itu.



Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud berkata, perkembangan terbaru itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke sekitar perairan Pulau Pinang.

Beliau berkata, ada kemungkinan bahawa pesawat berkenaan akan berpatah balik sekiranya ia tidak dapat meneruskan perjalanan.

"Buat masa ini, kami sudah periksa dengan khidmat radar daripada beberapa negara jiran berhubung penemuan pergerakan patah balik pesawat berkenaan.

"Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan di kawasan darat," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kerosakan daripada pesawat yang memaksa pesawat berkenaan berpatah balik.

"Berdasarkan siasatan kami, tiada sebarang hubungan dibuat antara pesawat dan pusat kawalan udara berhubung tindakan patah balik penerbangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengesahkan hanya dua identiti penumpang disiasat berhubung pemilikan pasport individu lain berbanding empat dilaporkan sebelum ini.

Katanya, pasukan penyiasat sedang meneliti rakaman sistem litar tertutup bagi mengesan dan mengenal pasti dua penumpang yang menggunakan pasport palsu itu.

Beliau berkata, lima lagi penumpang disahkan tidak menaiki pesawat MH370 ketika berlepas dan semua bagasi mereka telah dikeluarkan terlebih dahulu.

Sebelum ini dilaporkan warga Itali Luigi Maraldi dan Austria Christan Kozel didaftar menaiki pesawat MH370 tetapi hasil pemeriksaan kedutaan negara terbabit mendapati pasport mereka telah dipalsukan.

Sehingga kini, Jabatan Penerbangan Awam China mendakwa serpihan ditemui di koordinat 103.29 Timur 6.42 Utara di Laut China Selatan tetapi masih belum disahkan milik MH370 manakala pesawat APMM berjaya mengesan tompokan minyak di permukaan laut kira-kira 100 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Kesan tompokan kedua itu dikesan oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish ketika melakukan tinjauan udara dengan pesawat Agusta di kawasan seluas 200 batu nautika, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sampel tompokan minyak sudah diambil dan dijangka tiba di pangkalan maritim Tok Bali jam 7.30 malam nanti.


Sumber: HMetro

Contact Form

Name

Email *

Message *