Perogol Tua Rakam Gambar Mangsa Dengan HP Di Tangkap

Kuala Lumpur: Menipu kononnya dia pemilik sebuah pusat beli-belah di Pandan Indah, dekat sini, seorang lelaki berusia 57 tahun licik memerangkap gadis muda sebelum merogol serta merakam gambar bogel mereka menggunakan telefon bimbit.

Setakat ini, dua mangsa membuat laporan polis selepas menjadi mangsa ‘Romeo tua’ itu membabitkan seorang remaja berusia 14 tahun dan wanita berusia 23 tahun yang mendakwa dirogol pada 5 Oktober dan pertengahan September lalu.
Bagaimanapun, sumber polis berkata, kedua-dua mangsa hanya membuat laporan polis pada 9 November lalu dan susulannya, suspek berjaya ditahan di rumahnya di Subang Jaya, dekat sini, Isnin lalu.

Menurutnya, dalam aduan mangsa, suspek dikatakan sering berlegar-legar di sebuah pusat beli-belah di Pandan Indah dan akan mendekati wanita yang mencari pekerjaan di kompleks perniagaan itu.

“Dia kemudian mengaku sebagai pemilik pusat beli-belah itu dan bersedia mengambil mereka bekerja, namun mangsa perlu mengikutnya terlebih dulu untuk ditemu duga,” katanya.

Sumber itu berkata, dalam laporan polis dibuat mereka, kedua-dua mangsa mendakwa mereka percaya suspek benar-benar pemilik pusat beli-belah berkenaan kerana lelaki itu berpakaian kemas dan perwatakannya seperti orang kaya.

“Selepas mangsa bersedia menerima pekerjaan ditawarkannya, lelaki itu memberitahu dia perlu menjalani temu duga di pejabat yang terletak di USJ 19.

“Mangsa kemudian mengikut suspek menaiki sebuah kereta dan sebaik tiba di pusat beli-belah berkenaan, dia memberi alasan tertinggal dokumen di kondominiumnya yang terletak di atas pusat beli-belah itu,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian mengajak mangsa mengikutnya dan ketika berada di dalam rumah, suspek memberikan minuman dipercayai dicampur ubat khayal kepada mangsa.

Katanya, selepas mangsa tidak sedarkan diri suspek merogol mangsa dan merakam gambar mereka dalam keadaan bogel.

“Selepas mangsa tersedar beberapa jam kemudian dan mendapati mereka tidak berpakaian, suspek memberi amaran supaya tidak melaporkan kejadian kepada polis jika tidak mahu rakaman video dan gambar bogel mereka disebarkan,” katanya.

Sumber itu berkata, polis percaya kemungkinan ada lagi wanita yang turut menjadi mangsa suspek dan meminta mereka membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli semalam mengesahkan kejadian dan memberitahu suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
--Hmetro

Contact Form

Name

Email *

Message *