Sekurang-kurangnya 33 orang maut dan 130 cedera apabila sekumpulan penyerang bersenjatakan pisau panjang menikam orang awam di salah sebuah stesen keretapi paling sibuk di China.
Daripada gambar yang tersebar, dapat dilihat mayat manusia bergelimpangan, darah bersimbah di merata tempat dan beg-beg terkapar ditinggalkan orang ramai yang melarikan diri.
Menurut saksi kejadian yang berlaku di Stesen Keretapi Kunming di daerah Yunnan jam 9.20 malam kelmarin, para penyerang menikam orang awam yang melintasi mereka di luar terminal stesen sebelum bergerak masuk ke dalam komuter.
Pihak polis berjaya menembak mati empat suspek, menangkap seorang daripada mereka dan masih memburu yang lain.
Terdapat khabar menyatakan, dua daripada penyerang yang masih belum dapat dipastikan motif sebenar mereka itu merupakan wanita.
Kerajaan China dipercayai menyalahkan ekstremis agama dari barat wilayah Xinjiang yang mempunyai isu dengan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, kejadian amuk di tempat awam menggunakan pisau bukan perkara baru di China.
Pada Jun tahun lepas, 24 orang terbunuh manakala 23 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki menyerang balai polis dan bangunan kerajaan sekitar jam 6 pagi di sebuah daerah terpencil di barat China.
Pengganas berkenaan dikatakan datang dari Xinjiang, daerah yang diduduki paling ramai etnik minoriti Islam Uighur. – REM RAMZI
Sumber: CHINA DAILY